Sunday, April 13, 2008

Penyingkiran Lufya dan Naim

Sabtu lalu, menyaksikan tersingkirnya dua peserta serentak iaitu Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 23 dan peserta lelaki tinggi lampai berusia 20 tahun, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Shauqi Naaim Salmi.
Lufya yang menyanyikan lagu Tika Dan Saat Ini, nyanyian asal kumpulan Medicine dikritik hebat oleh barisan pengkritik terutama mengenai pakaian dan cara nyanyiannya yang seolah-olah memaksa diri.
“Maaf, nampak persembahan yang seolah-olah awak memaksa. Saya tahu awak bekerja keras tetapi memang nampak sangat paksaan dalam persembahan itu,” tegas Ogy tanpa berselindung.
Dalam pada itu, Ning dan Adlin berpendapat, baju yang diberikan kepada Lufya langsung tidak bertepatan dengan konsert yang bertemakan rock itu.
Naim yang menyanyikan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Wings, Opera Hidup, dilihat masih banyak kelemahan. Bahkan, menurut Ogy dan Adlin, Naim kurang pendedahan tentang teknik persembahan dan vokal yang baik.
Bagaimanapun, Ning pula berpendapat bahawa graf persembahan Naim pada malam Sabtu lalu ada sedikit peningkatan berbanding dua minggu lalu.
Penyingkiran dua peserta sekali gus itu membuka laluan kepada 10 lagi peserta yang bakal meneruskan cabaran pada konsert minggu keempat AF6, Sabtu ini.

No comments: